Lawatan Rasmi Ke Projek Lembu Sado IGE

by | Aug 1, 2022 | Aktiviti | 0 comments

Pada 26/7/2022 baru-baru ini, Pihak IGE Agro Farm menerima kunjungan dan lawatan hormat YB. Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi Negeri Pahang ke ladang ternakan lembu IGE di bawah Program Perintis Lembu Sado. Di dalam rangka lawatan ini, YB Dato berbesar hati untuk melawat kandang khas untuk ternakan lembu spesis ini (sado) yang julung kali dibuat di Pahang dan juga bagi membincangkan halatuju industri ini yang dilihat mampu menjana pendapatan yang lumayan serta membuka banyak ruang pekerjaan kepada penduduk setempat khususnya.

Turut dihadiri oleh beberapa wakil dari badan berkaitan juga untuk melihat sekitar kawasan ternakan lembu sado ini, antaranya FAMA Negeri Pahang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (Negeri Pahang), Lembaga perindustrian Nanas Malaysia (Caw. Negeri Pahang), Pegawai Daerah, dan juga Agrobank Negeri Pahang.

Program bermula sekitar jam 3 petang dengan ketibaan semua jemputan termasuk YB Dato terus ke ladang IGE Agro Farm yang terletak di Kampung Beletik. Jemputan diberi sedikit taklimat dan penerangan tentang pengurusan aset serta ternakan lembu sado. Pengalaman IGE dalam menguruskan lembu-lembu sado dikongsi bersama jemputan yang hadir semasa sesi minum petang. Turut dibincangkan adalah potensi untuk pembangunan industri ternakan lembu sado dan program mentor untuknya. Lawatan tamat sekitar jam 4.30 sebelum YB Dato berangkat ke program seterusnya di sekitar lipis.

Pihak IGE Agro Farm merasa sangat berbangga dan terharu kerana YB Dato sudi turun padang melihat aktiviti ternakan kami dan mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Dato dan semua yang terlibat dalam menjayakan aktiviti ini.